Saturday, August 13, 2011

MeMBiDiK RaSa, MeNCuRi HaTI..

Ketika sedang berjalan-jalan di iluvislam hati ini terpaut pada sebuah artikel yang menyentuh tentang persahabatan..bersesuaian dengan tajuknya " MeMBiDiK RaSa, MeNCuRi HaTI "....cerita ini menyentuh hati saya sambil mengundang rasa sebak...ia sebuah cerita yang panjang, namun sekiranya dihayati dengan mata hati, InsyaALLAH manfaatnya mengetuk pintu hati..

----------------------------------------------------------------------

Badannya kelihatan berpeluh-peluh. Wafri kedinginan, namun renik peluh bagai tidak mahu berhenti. Semakin lama semakin lencun dia. Matanya dipejam kemas, seolah-olah menahan kesakitan yang amat. Sekejap menggeleng ke kiri, sekejap ke kanan, bagai terseksa sungguh dirinya. Mungkin ada yang menganggu tidurnya tika itu.
"Wafri!" Tubuhnya terasa digoncang.
"Wafri!" Suara itu semakin kuat menerjah pendengarannya.
"Wafri..." kali ini suara yang lain menjelma, lembut. Suara yang sangat dirinduinya, suara itu berbisik lagi.
"Wafri, aku dekat."
"Wafri!" Suara tadi kembali menerjah.
Wafri membuka matanya, "Hazazi!" Mata Wafri buntang.
"Kau mimpi lagi?"
"Mimpi?" Wafri menyoal kembali sahabatnya yang sedang berdiri di hadapannya. Wafri mengusap mukanya.
"Allah..." seketika suasana diam, membiarkan Wafri bertenang.
"Ada orang nak jumpa kau." Sahabatnya kembali bersuara.
"Siapa?"
"Setiausaha. Dia tunggu kat luar."
Wafri bangun, dia tidak mahu belenggu hidupnya mengganggu urusan hariannya. Dia lantas melangkah keluar, dia lupa orang yang ingin dijumpainya ini, bakal membuatkan hatinya gundah lagi.
.................................................................

Wardah kaget melihat Wafri yang tercengang melihatnya. Dia mati kata.
"Kenapa pandang saya macam tu, macam tak pernah jumpa saya." Wardah bertanya takut-takut. Seram melihat wajah Wafri yang mula dibasahi peluh lagi. Hairan juga melihat baju lelaki itu yang lencun bagai baru berlari di padang.
Wafri kembali tersedar. Ini bukan kali pertama ia terjadi. Boleh dikatakan setiap kali dia berhadapan dengan Wardah, hatinya akan terusik seperti ini. Pertama kali dia menemui Wardah, hatinya terasa dekat sangat, malah dia merasakan sangat mencintai gadis itu, dia tidak pernah merasakan rasa cinta sebegitu, kecuali pada seorang teman.
"Maafkan saya, saudari mahu berjumpa saya?"
"Ya, saya mahu serahkan surat pengesahan program kita yang saya ambil dari pejabat tadi." Wardah menyeluk begnya, mengeluarkan sekeping surat terlipat. Entah bagaimana, dia turut tertarik beg dompetnya. Jatuhlah beg dompet itu dengan isinya bertaburan. Wafri serentak tunduk untuk membantu gadis itu mengutipnya. Namun, tindakannya terhenti apabila dia terpandang sekeping gambar yang terkeluar dari tempat persembunyiannya. Wafri mengangkat gambar itu dan menyuakan kepada Wardah.
"Siapa ni?" Nadanya sedikit meninggi.
Dengar nada sedikit terketar-ketar, Wardah menjawab, "Ini..."
"Siapa?" Wafri tidak sabar.
"Namanya Hazazi."
Ada riak terkejut di wajahnya "Bukankah dia sudah..." kata-kata Wafri mati.
Wardah ketakutan, dia cuba membuka mulut untuk memberitahu keadaan sebenar lelaki milik gambar itu. Namun Wafri kelihatan semakin pucat. Wafri tiba-tiba jatuh, dia pengsan. Wardah makin kaget. Mujurlah ada sahabat Wafri yang cepat-cepat keluar membantu Wafri.
.................................................................

Kenangan lalu kembali bertamu... kecewa hadir tatkala dia mula mahu pergi. Hilang rasanya seri hidupnya. Dia termenung di buaian bawah pohon rambutan yang buahnya sedang meranum. Namun selera Wafri mati.
"Assalamualaikum!"
Wafri terperanjat, segera dia berpaling. Seorang anak muda tersenyum padanya yang sudah berdiri di atas dua dahan. Wafri sendiri tidak sedar bila remaja lelaki itu tiba. Sedar-sedar sudah berada di atas pokok rambutan itu. Wafri memandang dia dengan pelik.
"Kenapa pandang aku macam tu, kau dah lupa aku ke?" Lelaki itu menyoalnya.
Wafri mengecilkan matanya, cuba mencari wajah lelaki itu di kotak memori. Empat tahun dia tidak pulang ke kampung, ada wajah-wajah yang luput dalam memorinya. Lelaki itu semakin memanjat tinggi, tangannya pantas mencapai buah rambutan dan terus memakannya.
"Kau makan rambutan tu, dah minta izin ke?" Wafri menduga.
Lelaki itu tersenyum, "Mestilah dah, haram tahu makan benda curi."
"Aku tahulah." Wafri membentak.
Kehadiran lelaki yang lupus dalam kotak memorinya itu, dirasakan cukup menganggu. Dia kembali baring dalam buaian itu. Tiba-tiba sebiji buah rambutan menujah ke dadanya, Wafri tersentak, spontan dia terduduk. Wafri mendongak ke atas, ternampak akan lelaki itu yang ketawa terkekeh. Semacam kenal cara ketawa itu. Ya, Wafri sudah ingat. Dia budak lelaki yang selalu membuli Wafri dahulu. Budak jahat! Kalau tiada Yana, ibu saudaranya, namun lebih muda darinya, tentu sahaja dia akan dikenakan teruk-teruk oleh budak lelaki itu.
"Kau turun sekarang." Wafri membentak. Lelaki itu menurut. Tersengeh berdiri di hadapan Wafri.
"Kau Hazazi, kan?" Wafri menyoal curiga.
Hazazi menjawab soalan Wafri dengan ketawa. Namun cepat-cepat dihentikan.
"Kau ingat aku rupanya, mesti kau ingat masa aku londehkan seluar kau, kan?" Hazazi ketawa lagi. Geli hatinya bila mengenang akan kisah lalu.
"Kau!" Wafri geram. Dikutipnya buah rambutan tadi dan dilemparkan kembali kepada Hazazi.
"Adoi!" Namun Hazazi tidak marah, dia ketawa lagi. Seketika, ketawanya reda.
Tangan Hazazi dihulur ke depan, "Apa khabar sahabatku?" Tersengeh lagi memandang Wafri.
Wafri menepuk tangan Hazazi, kasar, "Siapa sahabat kau. Kita berkawan pun belum." Wafri menarik muka masam, dia mengorak langkah, menyusun irama menuju ke dalam rumah.
"Wafri, aku dah besar lah. Aku minta maaf pasal semua yang aku pernah buat kat kau masa kecik-kecik dulu." Suara Hazazi masih bernada jenaka.
Namun, Wafri langsung tidak menoleh. Timbul risau di hati Hazazi. Benar, dia telah diberitahu oleh nenek Wafri akan masalah lelaki itu. Wafri baru sahaja kehilangan adik lelaki kesayangannya. Neneknya risau akan keadaan Wafri yang asyik termenung dan tidak terurus. Lantas, hanya Hazazi yang neneknya nampak boleh membantu cucunya. Ya, Hazazi yang Wafri kenal, si budak nakal. Wafri lebih suka mengingatnya sebagai si 'budak pembuli jahat!'
.................................................................

Wafri sendiri di buaian itu lagi, berayun perlahan. Di tangannya ada dua keping gambar. Dia tidak sedar yang Hazazi sudah berada di atas pokok rambutan. Entah bila budak lelaki  itu sampai pun Wafri tidak tahu. Hazazi sudah melihat sketsa Wafri yang sedari mulanya merenung kedua-dua gambar insan yang berbeza itu. Salah satunya, Hazazi kenal, itu gambar adik Wafri yang baru meninggal dunia dan satu lagi, gambar seorang gadis.
Puuk! Sebiji rambutan jatuh ke dada Wafri. Tersentak lelaki itu, merona wajahnya. Dia tahu ini kerja siapa, walaupun dia belum melihat si pelaku. Wafri mendongak dan dugaannya benar. Si 'penjahat' itu sedang ketawa di atas pokok.
"Apa kau buat hah?!" Wafri membentak.
Hazazi menghentikan tawanya, dia memandang Wafri dengan penuh pengharapan, lantas keluarlah kalimah itu dari bibirnya, "Membidik rasa, mencuri hati."
Wafri tersentak, gamam. Rasa itu seolah-olah memang terkena di hatinya. "Ni kau punya bidik." Wafri mengambil buah rambutan itu dan memakannya. Hazazi ketawa terkekek-kekek. Kemudian Wafri bangun dan menuju ke dalam rumah.
"Wey, kau tak nak kawan dengan aku ke?" Hazazi menjerit dari luar.
"Tak nak! Kau jahat."
Hazazi hanya tersenyum mendengar ucapan Wafri. Sedikitpun dia tidak terasa.
.................................................................

Wafri menjenguk ke luar rumah, mula-mula sekali dia akan pastikan tiada orang di atas pokok rambutan di hadapan rumahnya. Bunyi enjin motor kedengaran, Wafri menoleh ke bahagian tepi rumah.
"Acik nak pergi mana?" Wafri menyoal Yana, mak ciknya, walaupun Yana muda setahun darinya. Wafri lebih selesa memanggilnya 'Acik'.
"Acik nak pergi ke surau, hantar barang. Ari nak ikut?"
Wafri pantas mengangguk, dia bosan asyik di rumah. Mahu santai di atas buaian, takut-takut kelibat Hazazi pula muncul. Dia membonceng motosikal bersama Yana. Sesampai sahaja di masjid, Yana terus masuk ke dalam dan meminta dia untuk menunggu di luar.
Wafri nampak ada sekumpulan budak tengah mengaji dan di hadapan mereka ada tok gurunya. Muda lagi orangnya, sebaya dengan Wafri. Dia bersuara, "Abang baca dulu, lepas tu korang ikut ramai-ramai ye."
Wafri kenal suara itu. "Patutlah takde dia kat atas pokok rambutan tadi, kat sini rupanya." Bisik hati kecil Wafri.
Suara Hazazi merdu mengalun kalimah suci Qalam Allah. Sayu membidik rasa Wafri, menusuk qalbu, menyentuh sanubarinya. Wafri merenungnya tanpa berkelip. Seketika, Hazazi menoleh, tergamam sekejap. Kemudian dia menoleh kepada adik-adik di hadapannya, "Sekejap ye adik-adik."
Baru sahaja Hazazi mahu bangun, bahu Wafri dicuit. "Jom balik." Yana sudah berdiri di sebelahnya. Mungkin Yana tidak sedar kehadiran Hazazi. Wafri hanya mengikut. Tinggallah Hazazi dalam kekalutan sebuah rasa, sesal. Hati itu masih belum berjaya dibidiknya.
.................................................................

"Ari nak tanya sikit, boleh tak Acik?" Wafri mendekati Yana.
Yana pelik, "Tak pernah-pernah minta izin nak tanya. Tanya aje lah."
Wafri tersengeh, wajah Hazazi terbayang di matanya, "Hazazi tu kan Acik, dia nakal macam dulu lagi ke?"
"Hazazi?" Wajah Yana sedikit berkerut. Wafri mengangguk. Seketika kemudian pecah tawa Yana. Baru dia ingat zaman kanak-kanak dua remaja itu.
"Ari masih ingat masa kecil-kecil dulu ya?"
Wafri sebal, dia tahu, dulu dia sering dibuli oleh Hazazi dan kawan-kawannya yang lain. Dia sering dijadikan bahan jenaka. Hingga dia sering kali membantah untuk pulang ke kampung.
"Hazazi tu kan Ari, dah banyak berubah. Memang lah sikap nakal dia tu ada sikit-sikit. Tapi tak adalah sampai membuli macam dulu-dulu."
"Betul ke Acik ni?"
"Betul...! Hazazi tu, masa form 1, ayahnya hantar ke Maahad Tahfiz. Sampai PMR juga lah dia kat sana. Tetapi, bila ayahnya meninggal masa cuti sekolah tahun lepas, dia dah tak nak ke sana. Dia kata dia nak duduk kat rumah, jaga ibunya. Sejak itu, dia banyak bawa perubahan pada suasana kampung ni."
"Perubahan macam mana?"
"Kalau Ari perasan, ada lagi ke budak-budak lepak waktu malam? Tadi, yang mengaji ramai-ramai tu, dia lah yang mengajarnya. Kalau masa Maghrib dan Isyak, kalau kamu nak tahu, yang azan, dialah."
Wafri terdiam sejenak, cuba menyerap kata-kata mak ciknya. "Jadi dia tak jahat macam dulu lah?"
Yana menggeleng, "Acik rasa, baik kamu berkawan dengan dia. Bagus jugak, sekurang-kurangnya tak adalah kamu termenung hari-hari."
Wafri diam lagi. Kali ini dia terus diam, kakinya melangkah keluar, di muka pintu depan, dia nampak lelaki itu sedang baring di atas buaian, membelakanginya. Tidak di atas pokok seperti selalunya. Kali ini lelaki itu telah siap berpakaian baju Melayu.
Wafri mendekatinya perlahan-lahan. "Kau duduk kat tempat aku."
Giliran Hazazi pula terperanjat. Dia pantas bangun dan tersengeh. Hazazi membuka ruang bagi membenarkan Wafri duduk di atas buaian. Wafri duduk, sebenarnya hatinya cuak untuk merendahkan ego dan menegur Hazazi. Namun ketenangan yang hadir apabila melihat wajah lelaki ini ketika mengaji, membuatkan segala rasa angkuhnya menjunam.
Hazazi masih memandang Wafri, kemudian dia duduk mencangkung di hadapan Wafri. "Kau masih marahkan aku?" Hazazi memecahkan kesunyian.
Wafri mengangkat wajahnya menghadap Hazazi, lelaki itu masih boleh tersengeh walaupun sedang meminta maaf.
"Kau betul ye, takkan buli aku lagi." Suara Wafri mendatar.
Hazazi senyum lagi. Dia mengangkat jemarinya, seperti orang berikrar, "Janji, aku takkan buat macam dulu lagi. Aku nak bersahabat dengan kau." Hazazi masih bernada ceria.
"Kenapa kau nak kawan dengan aku?"
"Sebab aku nak membidik rasa hati kau."
Dahi Wafri berkerut, "Membidik apa?"
"Membidik rasa hati kau yang sedang berduka tu. Biarkan aku bidikkan dengan ketenangan kalimah Allah."
Dahi Wafri makin berkerut. Dia mulanya tidak mengerti apa yang disampaikan oleh Hazazi. Hazazi menghulurkan tangannya, "Aku nak bersahabat dengan kau."
Wafri merenung jemari Hazazi seketika, kemudian dia menyambut huluran tangan lelaki itu. Dia cuba buat-buat tersenyum, yang sebenarnya hatinya sangat bahagia waktu itu.
 .................................................................

Hari semakin hari berlalu, fahamlah kini Wafri akan kata-kata Hazazi. Wafri dikenalkan dengan sebuah ketenangan abadi. Ketenangan apabila menghadap Tuhan yang Hakiki. Hari-hari Wafri dan Hazazi dihabiskan di surau kampung itu. Selalu mereka bersantai bersama.
"Cuti sekolah dah nak habis." Wafri bersuara suatu hari. Hatinya gundah. Hazazi faham.
"Aku rasa macam malas nak balik KL."
"Kenapa?" Hazazi pura-pura menyoal.
Wafri menoleh ke arah Hazazi, matanya sayu...
"Kerana semuanya."
"Pasal arwah adik kau?"
"Itu satu. Aku takut, bila aku balik nanti, aku akan jadi macam dulu. Kau tak ada, nanti siapa nak suruh aku solat, buat amalan-amalan tu semua?"
Hazazi senyum. Itu sahajakah yang mengganggu hati sahabatnya ini, "Kau buat semua tu sebab apa? Sebab aku ke?"
Wafri menggeleng, "Aku buat sebab aku rasa tenang dekat dengan Allah. Aku buat kerana Allah."
"Kalau macam tu, kau tak perlu risau. Kau mantapkan keyakinan kau yang kau buat semua ini kerana Allah. InsyaAllah, kau akan mampu. Kalau rasa malas tu, kau kena lawan semuanya, sebab itu semua godaan nafsu dan Syaitan."
"Tapi, ada lagi yang buat aku berat nak balik sana."
"Apa?"
"Maya."
"Siapa maya?"
Suasana diam sebentar. Terlintas di ingatan Hazazi akan sekeping gambar perempuan yang direnung oleh Wafri tempoh hari. Mungkin itu Maya barangkali.
"Awek kau?" Wafri menyoal.
"Ex awek dah kot. Hari itu dia minta putus, aku tak nak. Katanya dia dah jatuh hati pada orang lain. Beberapa hari lepas itu, adik aku pula meninggal dunia. Hingga aku lupa untuk pujuk dia. Bila aku call dia balik, dah tak dapat. Bila aku pergi rumah dia, aku nampak dia tengah lepak dengan kawan aku. Aku fikir, diorang dah couple."
"Kiranya kau cintakan dia lah?"
"Hmm..."
"Aku kagum dengan kau, Wafri."
Wafri gamam, "Kenapa kau pula yang kagum dengan aku? Aku yang sepatutnya kagum dengan kau."
Hazazi tersengeh, "Kau, Allah dah uji dengan kehilangan bertubi-tubi. Tapi, aku tengok kau tabah sangat. Kau tak nampak macam kecewa pun."
"Siapa cakap? Aku murung hari-hari. Sebab itu mak ayah aku hantar aku balik kampung."
"Murung itu biasalah. Tapi kau tak buat benda bukan-bukan."
"Aku rasional lagilah..."
"Sebab itulah. Mari, aku nak tanya. Bila kau ingat Maya, dengan kau ingat aku, sekarang ni, mana kau rasa lebih selesa?"
Wafri diam sejenak, berfikir. Dia cuba mengingati wajah Maya, hatinya tiba-tiba rasa kelam, sedih. Dia memandang Hazazi pula. Tiada segaris senyuman pun dihadiahkan. Namun Wafri terbayangkan Hazazi yang sentiasa tersengeh. Dukanya berganti ceria.
"Kau!"
"Haa, itu bermakna kau lebih mencintai aku daripada Maya."
"Ish, kau ni mengarut apa? Takkan aku nak bercinta dengan kau."
"Aku tak kata kau bercinta dengan aku. Aku kata kau mencintai aku. Kau tahu sebenarnya, Allah membenarkan kau mencintai aku, malah dengan cinta itu, kau peroleh pahala, tetapi Allah murka bila kau mencintai Maya, mengundang dosa pula."
"Apa yang kau cakap ni?"
"Betul, kau mencintai aku, dan cinta kita membawa kepada kebaikan. Aku ingatkan kau, kau ingatkan aku, tetapi cinta kau kepada Maya, itu berdosa kerana Maya itu bukan muhrim dengan kau. Mencintai ajnabi sehingga melalaikan akan mengundang dosa."
"Takkan tak boleh jatuh cinta dengan perempuan kot?"
"Boleh, sahabatku sayang, tetapi kalau cinta itu membawa kepada pertemuan dan pertemuan itu membawa kepada persentuhan. Apakah itu tidak berdosa?"
"Memanglah. Tapi takkan nak bercinta itu pun tak boleh?"
"Allah dah pesan, jangan hampiri zina. Jangan hampiri, mencintai ajnabi yang tidak mengikut syara', yang membawa pada lalainya seseorang itu daripada mencintai Allah, dan membawa kepada perkara-perkara berdosa, itu dikira menghampiri zina. Berdosa."
Wafri diam, kata-kata Hazazi membidik hatinya.
Hazazi menyambung lagi, "Lagi satu, cinta manusia itu tidak kekal Wafri. Buktinya, Maya dengan senang jatuh cinta pada orang lain. Sedangkan cinta Allah itu tidak akan berganti. Allah mencintai semua orang dengan cinta yang sama. Malah Dia tidak akan meninggalkan kita sedetik pun. Kita yang sering lalai dan meninggalkan Dia."
Mata Wafri mula bergenang. Sinar keinsafan menusuk hatinya. Dia sedar, kata-kata itu dibidikkan pada sanubarinya. Lama dia diam, Hazazi membenarkan. Hinggalah satu saat, Hazazi kembali bersuara.
"Wafri, kau ok?"
Wafri menoleh, mengangguk, dan mengesat titis air matanya, "Terima kasih sebab sedarkan aku. Aku ingin mencari cinta Allah, kau bantulah aku."
"Aku sentiasa di sisi kau, Wafri." Hazazi tersengeh.
"Aku cintakan kau." Wafri menuturkan kata itu, "Sebagai sahabat aku."
Hazazi masih dengan mimik muka jenakanya itu, "Dalam bahasa arab, uhibbuka fillah."
"Aku tahu lah kau sekolah agama dulu." Wafri menolak bahu Hazazi. Mereka berdua ketawa.
Wafri mengulang suaranya, "Aku rasa aku nak pindah sekolah lah."
Mata Hazazi buntang, "Kau nak pindah ke mana?"
"Pindah satu sekolah dengan kau lah."
"Ooo... kau ni merisaukan aku je."
"Boleh ke?"
"Tentulah boleh. Kau kan sahabat aku."
Wafri membalas senyuman Hazazi.
.................................................................

Masa terus berlalu, memori indah dilakar sebanyak-banyaknya. Tujuan cuma satu, menuju redha Ilahi. Suatu saat terpisahlah dua sahabat itu. Hazazi dapat melanjutkan pelajaran ke luar Negara, manakala Wafri tetap di Tanah Air tercinta. Perpisahan demi menuntut ilmu. Mereka tidak pernah terputus hubungan, hinggalah ajal menjemput salah seorang daripada mereka. Wafri memandang wajah Hazazi di skrin laptopnya. Mereka dihubungkan melalui video call Yahoo Messenger. Wajah Hazazi pucat, katanya tidak cukup tidur.
"Wafri, kalaulah ditakdirkan aku pergi menemui Kekasih kita dulu, kau bagaimana?"
"Apa yang kau merepek ni?" Wafri ketakutan. Dia tidak suka bercakap soal ni. Kebelakangan ini, Hazazi sering bercakap tentang kematian. Seolah-olah malaikat Izrail sudahpun menemaninya.
"Tak salahkan kita mengingati mati? Kita kan dituntut untuk mengingati mati."
"Tahulah, tetapi jangan kau beritahu aku. Aku takut kehilangan kau, kau kan tahu aku mecintai sahabatku ni."
Hazazi tersengeh lagi. Kelakar melihat telatah Wafri. Dia menyambung, "Kalau aku mati kan, aku nak dermakan jantung aku."
"Tengok tu..."
"Dengarlah dulu..."
Wafri diam, Hazazi bersuara lagi, "Bila aku dah dermakan jantung aku, kau carilah penerimanya. Kau cintailah dia. Jadi, kau akan terus mencintai jantung aku yang masih berdegup."
"Apa kau merepek ni?"
"Kau tu, berjanji lah dulu."
"Boleh tu, boleh. Tapi kau jangan lah cakap pasal mati lagi dengan aku."
Hazazi tersengeh, "Ok lah, aku janji lepas ni, aku takkan sebut pasal tu lagi."
"Haa, macam tu lah. Ini tak, nak buat aku risau je."
"Membidik rasa, menyentuh hati."
Wafri tersenyum, "Uhibbuka fillah."
Itulah kali terakhir Hazazi berhubung dengan Wafri. Beberapa hari kemudiannya, Wafri dikejutkan dengan berita kematian Hazazi. Hancur luluh hatinya. Mujur dia cekal, dia redha dengan kehilangan sahabatnya tercinta. Setibanya jenazah Hazazi ke Tanah Air, Wafri memandikannya. Redup matanya tertutup, seolah-olah orang yang sedang tidur dan bermimpi yang indah. Dada Hazazi sedikit kempis, ada kesan jahitan di tengah-tengahnya. Tahulah Wafri yang Hazazi telah mendermakan jantungnya itu. Menitis air matanya apabila merindukan kenangan mereka bersama.
.................................................................
Jejaka itu kembali berpeluh, lencun badannya. Sekejap dia mengiring ke kiri, sekejap dia mengiring ke kanan. Matanya dikejap kemas, bagai menahan kesakitan. Apakah dia sakit? Wardah gundah, risau. Pelik melihat kelakuan Wafri. Dia sedang bermimpi. Wardah bangun. Dia perlu segera mengejutkan lelaki itu.
"Jangan!"
Baru setapak dia melangkah, sahabat Wafri menghalangnya, "Jangan kacau dia."
"Dia sedang bermimpi? Dia nampak sungguh tersiksa." Wajah Wardah ada riak kerisauan.
"Wafri tidak suka sesiapa mengejutkan dia dari mimpinya."
Dahi Wardah berkerut. Tidak suka dikejutkan daripada mimpi yang kelihatannya sangat menyiksakan? Mimpi ngeri? Ada persoalan yang bermain di mindanya tika itu.
.................................................................
Bisikan itu datang lagi... 
"Wafri..." suara lembut yang tidak mungkin akan dilupainya. Tidak mungkin, kerana dia sangat mencintai pemilik suara itu.  
"Aku dekat dengan kau, Wafri."
"Hazazi, kau kat mana?" Namun hanya kelam putih yang menemani.
"Aku sangat-sangat dekat."
"Hazazi..." tiada sahutan.  
"Hazazi..." masih tiada sahutan.
Dia menjerit... "Hazazi..." matanya terbuka. Dia kembali dari alam mimpi, melihat sekeliling, lantang dia menjerit hingga menyebabkan semua orang yang berada di bilik itu terperanjat.
"Astaghfirullah." Wafri mengusap mukanya. Nyata dia bermimpi lagi, badannya seperti biasa, basah lencun dengan peluh. Dia seolah-olah sudah terbiasa.
Serta-merta dia teringatkan gadis itu, "Wardah mana, Wardah?" Wafri menyoal sahabatnya.
Sahabatnya itu menunjuk ke satu arah di belakang Wafri, "Dia tidak mahu pulang, selagi awak tidak sedar."
Wafri berpaling. Wajah Wardah bertamu, gadis itu masih dengan mimik terkejutnya. Wafri bangun dan menghampiri Wardah. Wardah yang tadinya duduk, bangun kini tanda menghormati Wafri.
"Gambar tadi mana?" Wafri menyoal. Wardah menyuakan telapak tangannya.
"Siapa dia?"
"Saya tidak kenal dia..."
"Habis...?"
Wardah diam...
"Ceritakan bagaimana gambar itu boleh ada pada awak?"
Wardah tunduk, mula membuka bicara, "Hazazi ini... jantungnya milik saya sekarang."
"Jantungnya milik awak?!" Suara Wafri sedikit meninggi. Lupa akan logik bicaranya. Wardah ketakutan.
"Maafkan saya, teruskan..."
Wardah masih takut-takut. Namun diteruskan jua.
"Saya mahu mencari keluarganya, saya mahu berterima kasih pada mereka. Bila saya ke hospital, saya dapatkan alamat Hazazi, ternyata dia orang Malaysia. Kata pihak hospital, Hazazi meninggalkan gambar ini untuk diberikan kepada sesiapa yang mencarinya."
Suasana diam seketika. Melihat Wafri yang tidak berbicara, Wardah meneruskan kata-katanya.
"Sebenarnya, saya dahulu bukan penganut Islam. Namun, apabila jantung ini masuk ke dalam badan saya, saya merasakan mencintai sesuatu. saya tidak tahu apa itu. Setelah saya terlihat tulisan Allah di sebuah kedai, serta-merta hati saya jatuh cinta. Saya merasakan inilah cinta yang tidak saya ketahui itu. Dari situ, saya mula mencari maklumat akan tulisan indah itu yang seterusnya membawa saya kepada Islam."
Wafri memandang Wardah, dia tahu yang dia sangat-sangat mencintai jantung yang berada di balik tulang rusuk gadis itu.
"Apakah awak tidak merasakan apa-apa apabila bertemu dengan saya?"
Wardah tunduk, mukanya merona kemerahan, "Saya merasakan saya sangat dekat dengan awak. Dekat atas alasan apa, saya tidak tahu."
Mata Wafri bergenang, dia sangat-sangat merindui Hazazi saat itu.
"Ketahuilah bahawasanya, jantung milik awak itu, pernah mencintai saya kerana Allah. Saya juga sangat menyayangi pemilik jantung itu. Dia sahabat baik saya, namun dia lebih dahulu tinggalkan saya. Hari terakhir kami berhubung, dia ada memberitahu saya yang dia akan mendermakan jantungnya. Dia meminta saya agar mencari pemilik baru jantungnya."
Wardah tersentuh dengan kisah Wafri. Begitu sekali rasa cinta dua sahabat, hingga dia yang membawa jantung salah seorang darinya turut merasakannya. Wardah menghulurkan telapak tangannya lagi. Gambar Hazazi ada di situ. Wafri merenungnya. Rindu kepada sahabatnya, tidak terbalas rasanya. Wardah kemudian membalikkan gambar itu. Ternampaklah sebaris ayat yang tertulis pudar di belakang gambar Hazazi.
'Membidik rasa, mencuri hati - Wafri Hazazi'
"Allahhu Akbar." Wafri bertakbir.
Serentak itu dia sujud di lantai menghadap ke kiblat. Sujud penuh kesyukuran. Rindunya rasa sedikit terlerai. Permintaan arwah sahabatnya dapat ditunaikan. Subhanallah, bisikan itu seakan merasuk lagi.
"Wafri, aku dekat!"
Air mata Wafri menitis mambasahi tempat sujudnya. Hazazi... nama itu akan sentiasa tersemat utuh di hati.

No comments:

Post a Comment